Anwar Ibrahim

BAGAN SERAI – Kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan bagi projek penyaluran air di Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya akan digunakan untuk pembekalan air terawat ke Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan disalurkan melalui projek pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang melibatkan kawasan seluas 1,000 ekar di sini.

“Kerajaan bersetuju pada dasarnya, walaupun bukan untuk tahun ini (dilaksanakan), sebaliknya tahun ini permulaan awal (langkah-langkah perancangan awal) kita akan sediakan.

“Ini kerana projek ini kita harus jadikan sebagai projek keutamaan, untuk kepentingan rakyat Perak terutamanya di kawasan utara negeri dan juga di Seberang Perai Selatan. Dan ia adalah langkah penyelesaian jangka panjang.

“Kalau projek ini selesai (dapat dilaksanakan kelak), maknanya (ia mampu memenuhi keperluan) untuk puluhan tahun akan datang untuk di Kerian, KIGIP, dan Seberang Perai di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Taman KIGIP di Dewan Dato Zainal Abidin Zin, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak,Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast