LEIPZIG – Pemain veteran Portugal, Pepe muncul pemain tertua dalam sejarah Kejuaraan Eropah pada usia 41 tahun 113 hari selepas tersenarai dalam kesebelasan utama menentang Republik Czech pada saingan Kumpulan F Euro 2024.
Bek tengah itu mengatasi rekod bekas penjaga gol Hungary, Gabor Kiraly yang beraksi pada usia 40 tahun 86 hari ketika pasukannya tewas di tangan Belgium pada pusingan 16 terakhir Euro 2016.
Pepe memulakan aksi bersama Diogo Dalot dan Ruben Dias dalam skuad Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo.
Pemilik nama sebenar, Kepler Laveram de Lima Ferreira merupakan kelahiran Brazil dan mempunyai 137 caps bersama Portugal.
Pepe mencipta nama selepas menandatangani kontrak dengan Real Madrid pada Julai 2007 namun kariernya turut terpalit dengan beberapa insiden besar sepanjang 20 tahun bermain di Eropah.
Pada tahun 2009, dia “hilang kawalan” selepas memberi sepakan penalti kepada Getafe, dua kali menendang lawannya Francisco Casquero yang baru saja dijatuhkannya ke tanah dan memijak lawan dalam insiden yang mengejutkan ramai itu. – MalaysiaGazette