KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan pihaknya telah menerima sebanyak 57 laporan daripada mangsa yang terjejas dalam skim pelaburan penipuan mesin minuman layan diri di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penerimaan aduan itu menyusul rentetan daripada sidang media berkaitan kes berkenaan yang dibuat oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) pada Sabtu lalu.
Katanya, siasatan mendapati kesemua 57 laporan polis mangsa yang diterima sejak 2023 sehingga kini membabitkan nilai kerugian berjumlah lebih RM5 juta atau secara tepat RM5,306,900.
“Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut dalam kes ini.
“PDRM menggesa mana-mana individu yang telah menjadi mangsa skim penipuan ini untuk tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Ramli turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan mencari maklumat yang secukupnya sebelum mengambil keputusan untuk menyertai mana-mana skim pelaburan yang ditawarkan di luar atau atas talian.
“Sebaik-baiknya sila dapatkan pandangan dan nasihat daripada agensi yang berkaitan dengan pelaburan seperti Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti sebelum terlibat dalam sebarang skim pelaburan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 sekiranya mempunyai sebarang kebimbangan berkenaan jenayah penipuan (scam).
“Jangan membuat pelaburan secara membuta tuli sebaliknya ingatlah, tamak haloba dan kejahilan adalah menjurus kepada kerugian,” katanya lagi.- MalaysiaGazette