Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin beramah mesra pada Sesi Jualan Murah Madani Parlimen Nibong Tebal di Sungai Bakap, Pulau Pinang. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2024.

NIBONG TEBAL – Calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin beriltizam akan melaksanakan lebih banyak program bagi membantu penduduk Sungai Bakap dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Joo berkata, kenaikan kos sara hidup antara keluhan tinggi yang diluahkan pengundi kepadanya.

“Kita boleh lihat hari ini bila buat jualan murah Madani sambutannya baik dan saya juga berpuas hati dengan harganya yang jauh lebih murah berbanding pasar raya.

“Jadi program sebegini akan diteruskan bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup tambahan pula program sebegini sering dilaksanakan seluruh negara,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Jualan Murah Madani Parlimen Nibong Tebal di Dewan MPKK Sungai Duri di sini hari ini.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) iaitu bekas pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara Dr Joohari Ariffin dan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, Abidin Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK berkenaan pada 6 Julai. – MalaysiaGazette