KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendedahkan individu yang menjadi ejen melobi sokongan kepada wakil rakyat pembangkang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau turut mendedahkan butiran perbualan ejen berkenaan dalam aplikasi WhatsApp pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau bertindak demikian setelah mendakwa tidak diberikan ruang untuk membuat penjelasan terhadap usul yang diluluskan mengheretnya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.
“Ini salah satu perjumpaan tersebut. Bagaimana tidak berlaku? Ada tanya betul ke ada usaha pengaruhi kelakuan saya dalam dewan?
“Saya nak dedahkan perkara ini dalam siasatan jawatankuasa Peraturan 80A. Memang ada usaha sebab (tunjuk mesej bertulis)
“Bukti-bukti ini asalnya saya rancang bawa dalam jawatankuasa yang dibentuk di bawah Peraturan 80A untuk siasat aduan yang dibuat,” katanya lagi.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said membacakan usul untuk mengheret Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat.
Usul berkenaan kemudian disokong timbalannya, M Kulasegaran.
Azalina ketika membentang usul itu menjelaskan, Dewan Rakyat memandang serius kenyataan Wan Saiful di mana secara tersirat sudah mendakwa ada individu yang kononnya bertindak bagi kerajaan, boleh memanipulasi untuk membatal atau menggugur pertuduhan kes mahkamah terhadap dirinya.
Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menafikan telah menyebut butiran berkaitan kes dan pertuduhan mahkamah yang dihadapinya.
Ia susulan Wan Saiful sebelum ini mendakwa ditawarkan ‘membatalkan’ pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah jika menyokong Perdana Menteri.
“Saya amat kesal dengan apa yang berlaku. Niat saya sekiranya terpaksa berbahas, saya sedia berbahas tetapi sudah tentu pegangan kita usul yang dibawa kerajaan adalah usul yang tak lengkal, yang sepatut tidak dibahaskan langsung,” tegasnya.
Dalam pada itu, Wan Saiful enggan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak percaya kepada integriti agensi berkenaan.
“Cuba bayangkan kalau saya pergi SPRM, agak-agak siapa yang kena tahan. Saya terus terang saya sebut, saya tiada kepercayaan kepada institusi SPRM,” ujarnya.
Dalam sidang media sama, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sebagai tidak sah kerana tidak mengikut peraturan Dewan Rakyat.
“Sewajarnya speaker menghormati dan mematuhi dan speaker ada kuasa kalau beliau minta tempoh masa, tangguh dulu bawa ke masa lain, tidak diteruskan usul ini.
“Ini langkah tidak wajar tidak sah bila seorang speaker buat undang-undang dan peratusan, sebab iitu kita nyata bantahan keluar dewan tak dengar apa perbahasan mereka.
“Mereka rasa ada sokongan bilangan ahli Parlimen yang besar, maka tak bahas dan akhirnya mereka luluskan juga usul itu,” kata Muhyiddin.
Sementara itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata, pembangkang akan mampertimbangkan untuk merujuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi kes yang sama.
“Kita akan kaji perkara itu, (rujuk speaker ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen) dari segi peraturannya speaker adalah ahli dewan, mana-mana ahli dewan boleh dirujuk ke rujuk speaker ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlime tapi kita akan kaji, kena ingat dalam jawatankuasa ini pengerusinya speaker sendiri, itu keadaannya,” katanya. – MalaysiaGazette