Foto FB Azharina Azhar.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Azharina Azhar mendedahkan didiagnos kanser namun hanya dapat mengetahui jenis sel barah yang menyerangnya dalam tempoh dua minggu lagi.

Wanita berusia 39 tahun itu sepatutnya menjalani dua pembedahan besar tetapi terpaksa menangguhkannya bagi menyempurnakan beberapa tugasan yang belum selesai.

“Setakat ini, saya belum boleh kongsikan lagi butiran lanjut kerana menunggu keputusan laporan perubatan yang dijangka keluar dalam tempoh terdekat.

“Sepatutnya saya menjalani pembedahan bariatrik minggu depan disebabkan masalah kesihatan yang berpunca daripada suka makan.

“Satu lagi pembedahan pula membabitkan sakit kanser, cuma kena tunggu dulu laporan perubatan,” katanya memetik laporan Kosmo Online ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu berjudul Realiti duet bersama Kozae di sini hari ini.

Azharina yang turut menghidap kencing manis sejak dua tahun lalu itu mengakui keadaan kesihatannya mengganggu aktiviti harian serta emosi namun sentiasa berfikiran positif.

“Saya juga insan biasa, kalau sakit tentulah akan menangis. Biasanya saya akan dengar lagu-lagu galau untuk redakan perasaan.

“Tetapi saya selalu ingatkan perlu positif demi anak-anak dan pekerja. Apa pun yang terjadi hidup tetap perlu diteruskan. Saya kena tempuh ujian ini walaupun perit dan menyakitkan,” ujarnya.

Jelasnya, penyakit itu juga memberi kesan pada staminanya serta menyebabkan dia mudah kepenatan selain mendatangkan kemurungan.

Penyanyi itu pertama kali berkongsi menghidap penyakit sewaktu menyertai program All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada September 2023 tetapi tidak memberi perincian lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast