Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah (D7) Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menerusi Op Saga melakukan tiga serbuan perjudian di Jalan Lima Chan Sow Lin dan Jalan Jejaka 7, Cheras baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner S Ravindar Singh berkata, serbuan dilakukan 11.50 malam dan 1.20 pagi.

Menurut beliau, tiga lelaki ditangkap dalam operasi berkenaan.

“Polis di lokasi serbuan pertama telah menjalankan tangkapan ke atas seorang lelaki bukan warganegara berumur 34 tahun dan telah membuat rampasan ke atas sebuah telefon bimbit jenama IPhone 11 Pro Max.

“Manakala di lokasi serbuan kedua dan ketiga,  polis telah menjalankan tangkapan ke atas dua lelaki warganegara berumur 40 dan 44 tahun serta telah membuat rampasan ke atas dua buah telefon bimbit milik kedua-dua tangkapan,” katanya menerusi kenyataan.

Ravindar berkata, reman ke atas tangkapan bukan warganegara dibenarkan selama empat hari bermula semalam hingga Jumaat.

Manakala dua lelaki warganegara tempatan diberi jamin polis.

Ravindar berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953.- MalaysiaGazette