Taugeh yang jatuh ke lantai dikutip semula untuk dijual.

KUALA LUMPUR – Dua premis taugeh di Kompleks Pasar Borong, Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur antara diarah tutup selepas didapati pekerja terbabit mengutip taugeh yang jatuh ke lantai untuk dibungkus dan dijual.

Dalam operasi yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati premis berkenaan dalam keadaan kotor.

“Bekas yang berisi taugeh terdedah dan mudah dilalui oleh tikus. Pekerja juga didapati mengutip semula taugeh yang telah jatuh ke lantai dan dibungkus semula,” katanya dalam perkongsian di Facebook DBKL.

Premis penyembelihan ayam yang turut dikenakan tindakan.

DBKL turut mengambil tindakan terhadap dua premis penyembelihan ayam kerana kotor termasuk semua sisa ayam seperti bulu dan darah disalurkan terus ke longkang awam.

Hasil siasatan Indah Water Konsortium (IWK) mendapati loji berhampiran dipenuhi oleh bulu dan lemak ayam.

Pekerja juga tidak menerima suntikan typhoid serta tidak memakai pakaian yang bersih dan sesuai ketika mengendalikan bahan mentah.

Katanya, daripada empat premis terbabit tiga dikenakan penutupan segera di bawah Akta Makanan 1983 dan satu premis akan dibatalkan lesen.

“DBKL mengingatkan agar semua pemilik premis di ibu kota agar sentiasa menjaga kebersihan premis dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dalam syarat lesen perniagaan,” katanya.

Dalam operasi tersebut sebanyak 16 kompaun kesalahan turut dikeluarkan di bawah peruntukan Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Pelesenan Tred,Perniagaan Dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast