Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada Hari Anugerah Pendidik MARA 2024 di Menara MARA, Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 04 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menerima senarai pendek nama calon yang akan diketengahkan oleh UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Katanya, rundingan juga telah diadakan bersama UMNO Bahagian Gua Musang dan prosedur UMNO Bahagian itu adalah akan membawa nama yang dicalonkan ke dalam mesyuarat bahagian terelebih dahulu.

Katanya, selepas itu akan diadakan pengundian secara dalaman oleh jawatankuasa bahagian bagi memilih calon yang benar-benar layak.

“Kami telah mengadakan rundingan dengan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah…prosedur yang ada di Gua Musang walaupun senarai pendek itu telah sampai kepada saya, tetapi, tradisi UMNO Gua Musang adalah akan membawa nama-nama itu ke dalam mesyuarat bahagian.

“…dan akan diadakan pengundian dalaman di kalangan jawatan kuasa bahagian untuk memilih calon yang mempunyai elemen wali, winneable, acceptable and likeable candidate (boleh menangi, boleh diterima dan disukai),” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Hari Anugerah Pendidik MARA 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional memberitahu, sudah pasti UMNO akan mengenengahkan calon dalam kalangan anak tempatan.

Ditanya bila UMNO akan membuat pengumuman calon yang akan bertanding di DUN berkenaan, beliau berkata, ia akan merundingkan perkara itu terlebih dahulu sebelum penamaan calon.

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pemuda UMNO Kelantan merangkap Ketua Pemuda Bahagian Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani; Ketua Penerangan UMNO Gua Musang, Amran Arifin dan Ketua Wanita UMNO Gua Musang, Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli antara yang dikatakan akan diangkat sebagai calon BN pada PRK Nenggiri.

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong bermula dari tarikh berkenaan setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada Bersatu pada 13 Jun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.
Pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15), Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo Pas menewaskan Ab Aziz Yusof dengan majoriti 810 undi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast