JOHOR BAHRU – Lima lelaki dengan tiga daripadanya mempunyai 23 rekod lampau kes jenayah dan dadah ditahan sekali lagi semalam selepas memecah masuk sebuah rumah di Bandar Permas di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata,
sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan memberkas suspek berusia 29 hingga 39 tahun itu pada jam 4.30 petang di Taman Desa Tebrau di sini.
“Dalam serbuan tersebut pihak polis merampas sebatang besi panjang berukuran 114.5 sentimeter dan tiga bilah parang berukuran 46.5 hingga 70 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan pecah rumah.
“Berdasarkan laporan dibuat mangsa yang merupakan seorang wanita tempatan, 37, di IPD Johor Bahru Selatan pada pukul 12.51 tengah malam, 19 Jun lalu, kejadian itu dianggarkan berlaku antara pukul 4 petang hingga 10 malam 18 Jun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai tiga rekod jenayah dan satu rekod dadah, suspek kedua (enam rekod jenayah, lima rekod dadah) serta suspek kelima (tiga rekod jenayah, lima rekod dadah, satu rekod dikehendaki polis).
Menurut Raub, suspek ketiga dan keempat pula tiada rekod lampau berkaitan jenayah atau dadah sementara ujian air kencing pula mendapati kelima-lima suspek positif dadah.
Beliau memberitahu, semua suspek kini direman enam hari bermula hari ini sehingga 10 Julai bagi membantu siasatan.
Kes tersebut katanya, disiasat bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima hingga 14 tahun dan dikenakan denda serta dihukum sebat bagi kesalahan kedua.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian jenayah katanya, boleh menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323. – MalaysiaGazette