Penduduk Kampung Gudon dan pelajar sekolah SAR Darul Hikmah Kg Gudon telah menyertai aktiviti sukaneka yang dianjurkan.

KOTA KINABALU – Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) sesi 2023/2024 telah mengadakan Program Kunjung Kasih 2.0 KKTF di Kampung Gudon, Manggatal baru-baru ini.

Program itu diadakan untuk memberi pendedahan sosial mengenai aktiviti kemasyarakatan sepanjang program dijalankan di kampung tersebut selain menerapkan dalam diri pelajar universiti mengenai konsep kesukarelawan melalui aktiviti kemasyarakatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan yang merupakan mantan pensyarah kanan UMS telah menyempurnakan perasmian program tersebut.

Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, inisiatif oleh siswa-siswi UMS itu tidak hanya membantu meningkatkan infrastruktur dan kerjasama antara komuniti, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan antara pelajar universiti dan komuniti setempat.

“Saya dimaklumkan bahawa pada hari pertama, peserta program Kunjung Kasih telah bersama-sama membersihkan kawasan sekolah yang terkena musibah akibat kejadian banjir.

“Manakala pada hari kedua peserta menjalankan aktiviti mengecat masjid dan mengadakan sukaneka bersama-sama pelajar sekolah dan penduduk Kampung Gudon.

“Saya turut difahamkan ini merupakan kali kedua penganjuran program seumpama dan JAKMAS KKTF melalui Exco Hal Ehwal Wanita dan Kemasyarakatan (HELWA) masih bergiat aktif dalam misi menyantuni masyarakat setempat, justeru syabas dan tahniah diucapkan kepada semua peserta dan penduduk kampung dalam menjayakan program ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast