Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dwi rangkaian 5G didakwa akan memberi kelebihan kepada para pesaing Digital Nasional Berhad (DNB) manakala anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan itu pula berada dalam keadaan cacat.

Ketua Portfolio Komunikasi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindak-tanduk kerajaan dilihat bertentangan dengan jaminan yang diberikan sebelum ini.

“Langkah kerajaan hari ini akan menyebabkan berlaku pelanggaran Akta Seksyen 133 Akta Komunikasi dan Multimedia. Ia secara khusus menyatakan syarikat-syarikat yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) tidak boleh melakukan apa-apa tindakan.

“Ia hanya mengurangkan persaingan terbuka dalam pasaran komunikasi,” katanya ketika membahaskan Laporan Ketua Audit 2024 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan semua syarikat telekomunikasi dikehendaki memegang ekuiti dalam DNB, pemilik rangkaian 5G pertama.

CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, U Mobile Sdn Bhd and YTL Communications Sdn Bhd melanggan saham dan baru-baru ini mengesahkan mereka memenuhi semua syarat membolehkan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) secara kolektif memegang 65 peratus pegangan dalam DNB.

Melalui penyertaan dalam DNB, syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan akan mempunyai pengetahuan dalaman tentang butiran teknikal dan kewangan DNB. Syarikat-syarikat ini juga mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah DNB.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, semua pemegang saham DNB berhak memohon menjadi pengendali rangkaian 5G kedua yang bakal diwujudkan untuk menyaingi DNB.

“Bagaimanapun situasi ini memberi kelebihan perniagaan yang tidak adil kepada syarikat-syarikat tersebut. ⁠

“Keberadaan mereka dalam Lembaga Pengarah DNB memberikan syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan kawalan yang tidak adil ke atas pengurusan dan operasi DNB serta akses kepada maklumat-maklumat kewangan dan strategi DNB,” katanya.

Menurut beliau, maklumat dan kuasa dalam lembaga pengarah  boleh digunakan oleh syarikat-syarikat itu untuk memastikan mereka sendiri mempunyai kelebihan yang tidak adil apabila bersaing dengan DNB nanti.

“Langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan ini kelihatan amat sumbang, tidak logik dan tidak kompeten.

“Ini seolah-olah kerajaan mahu pesaing masuk ke rumah serta mengawal DNB dan kemudian memaksa DNB bersaing dengan mereka yang mempunyai kuasa mengawal DNB itu sendiri. Mana logiknya langkah ini?” soalnya.

Katanya lagi, tindakan kerajaan bukan untuk menghasilkan persaingan, tetapi ia hanya memberi kelebihan kepada para pesaing untuk membunuh DNB dalam pasaran.

“Di mana persaingan yang disebut-sebut oleh Menteri Komunikasi selama ini? Jelas sekali Menteri Komunikasi tidak cermat dan rancangan beliau tidak difikirkan dengan teliti, sehingga akhirnya yang akan rugi ialah rakyat dan pembayar cukai.

“Malahan 1 Julai lalu, kerajaan mengeluarkan Pakej Maklumat Pemohon (AIP) untuk mengenal pasti MNO untuk rangkaian 5G kedua yang dicadangkan. Tetapi tiada perincian diberikan tentang AIP ini dan kriteria yang dikehendaki juga tidak mudah diperolehi secara terbuka.

“Kenapa kerajaan tidak telus dalam proses penting ini?” soalnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast