KUALA LUMPUR – Pertimbangan Malaysia untuk menyertai kumpulan ekonomi BRICS (Brazil, Russia,India, China dan Afrika Selatan) sangat meyakinkan susulan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggotanya mencecah AS$26.6 trilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi dagangan BRICS dilihat boleh memberi kekuatan baharu kepada ekonomi negara, tambahan pula jumlah itu merupakan 26.2 peratus daripada KDNK dunia.
“Kita percaya rangkaian ini akan memberikan kekuatan baharu kerana KDNK negara anggota BRICKS sudah mencecah AS$26.6 trilion iaitu 26.2peratus daripada KDNK dunia.
“Maka kalau kita membuka jalur ini, kita yakin akan memberi manfaat untuk syarikat-syarikat dan ekonomi negara kita,” katanya ketika sesi soal jawab menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu beliau menjawab pertanyaan Lee Chuan How (DAP-Ipoh Timur) meminta Perdana Menteri menyatakan dasar dan halatuju Malaysia susulan hasrat untuk menyertai BRICS.
Chuan How juga bertanyakan mengenai penyertaan itu akan membantu perkembangan ekonomi negara khususnya dalam meningkatkan potensi eksport tempatan ke negara BRICS.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Malaysia adalah sebuah negara perdagangan dan ia membina rangkaian supaya hubungan negara dapat membantu rakyat dan negara dari sudut pelaburan dan perdagangan.
Perdana Menteri berkata, terdapat kewajaran Malaysia membuka ruang baharu terutama dalam konteks agenda selatan global dan negara tidak mahu terikat kepada satu kekuatan ekonomi sahaja.
“Kita akan memperkuatkan kerjasama ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang terus dijaga, kemudian Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik(CPTPP) dan Indo-Pasifik akan diteruskan,” katanya.
Katanya, selain BRICS, Malaysia berkemungkinan bersama dengan negara-negara jiran lain untuk menyertai Pertubuhan Kerjasama danPembangunan Ekonomi (OECD).
“Semua ini akan memberi jalur baharu atau memperkuatkan jalur sedia ada. Beberapa negara termasuk Thailand dan Indonesia juga telah menghubungi dan memohon penyertaan dalam OECD.
“Malaysia sedang mengkaji kemungkinan bersama dengan negara-negara jiran untuk mengembangkan hubungan kita termasuk dagang dan pelaburan, selain daripada sedia ada, APEC umpamanya, BRICKS dan OECD,” katanya lagi. – MalaysiaGazette