KUALA LUMPUR – Tiada syarat yang dikenakan kepada ahli Parlimen pembangkang termasuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan peruntukan bagi kawasan-kawasan bukan kerajaan.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak pernah mengenakan syarat sedemikian, sebaliknya wakil rakyat pembangkang hanya perlu mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Saya sudah beri penjelasan ini berulang kali walaupun saya terus diserang kata kita zalimi, tidak beri peruntukan.
“Semua proses peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang di semua negara demokrasi mengikut prosesnya, rundingan dan saya beri mandat penuh kepada TPM II untuk mengadakan perbincangan.
“Tiada syarat dia mesti sokong Perdana Menteri, tiada syarat itu, saya tidak pernah kenakan syarat itu,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PN-Pendang, Datuk Awang Hashim pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menggesa Awang segera memaklumkan perkara itu kepada semua ketua parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk menyegerakan rundingan mengenai peruntukan untuk semua kawasan pembangkang.
“Semasa Bera sebagai Perdana Menteri, diwakili kedua-dua pihak, ada rundingan banyak kali, kemudian bila tersangkut satu dua isu, maka saya selaku Ketua Pembangkang dan Perdana Menteri Bera berbincang, kemudian kita putus dan memuktamadkan.
“Saya menyeru kepada YB Pendang kalau boleh, sampaikan kepada semua wakil parti dan segerakan perbincangan supaya isu ini tidak jadi isu yang memanaskan suhu di dewan ini,” katanya.
Perdana Menteri berkata kali, rundingan mengenai peruntukan untuk kawasan pembangkang itu semudah dengan melakukan perbincangan dan tidak perlu tindakan populis lain.
“Tak payah berlari ker, berjoging ker, tak payah, kita runding sahaja, bincang sahaja selesai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette