KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menempelak pihak yang mendakwa beliau punca kekalahan Pakatan Harapan(PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu lalu.
Secara sinis, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, apabila PH menang besar pada PRK terdahulu, tiada isu yang dikaitkan dengan dirinya.
Beliau yang juga Menteri Ekonomi turut menegaskan, penyasaran subsidi diesel bukan punca utama kekalahan PH di Sungai Bakap.
“Kalau dilihat tahap sokongan pengundi Melayu dan kalau betul soal diesel memberi kesan besar kepada undian, kamu akan mengatakan undi PN akan meningkat.
Tetapi tidak, ia (jumlah undi) kekal sama.
“Tahun lalu (PRN 2023) sebelum ada penyelarasan subsidi diesel pun macam itu, sekarang pun selepas penyalarasan subsidi pun macam itu. Saya rasa kena lihat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi selepas menghadiri Forum Pelaburan SJ-SEZ di sini hari ini.
Rafizi diminta mengulas kewibawaanya mengemudi kempen PRK Sungai Bakap selepas gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihanraya berkenaan.
Ramai mendakwa cara beliau menjalankan kempen merupakan sebab utama PH ditolak sehingga memberi kelebihan majoriti hampir tiga kali ganda kepada PN.
Ia bermula ketika pelancaran jentera PH oleh Rafizi di awal kempen yang menyaksikan Timbalan Presiden itu kelihatan cuba memalukan seorang hadirin kerana mempersoalkan pentadbiran Kerajaan yang dikatakan gagal menunaikan janji menurunkan harga minyak.
Malah klip video tular yang dirakam pada malam terakhir kempen menunjukkan Rafizi menggelarkan pengkritiknya sebagai ‘bahlol’ dan ‘bodoh’ kerana mempersoalkan kerajaan dalam menyelesaikan isu ekonomi.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, secara tradisinya peratusan keluar mengundi bukan Melayu pada PRK dan PRN lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum menyebabkan masih terlalu awal untuk menyatakan isu diesel adalah dijadikan punca utama kekalahan Kerajaan Perpaduan.
“Saya rasa kita kena berhubung dengan kumpulan sasaran, pengundi bukan Melayu untuk memahami motivasi mengapa mereka tidak turun mengundi.
“Mengenai diesel, kita perlukan lebih banyak data, tapi saya kena nyatakan juga, secara tradisinya memang dalam PRK dan PRN jumlah pengundi bukan Melayu selalunya lebih rendah,” katanya
Pada PRK Sungai Bakap, calon daripada Pas Abidin Ismail menang dengan 14,489 undi, memperoleh majoriti 4,267 undi berbanding lawannya iaitu calon PH daripada PKR Joohari Ariffin yang memperoleh 10,222 undi.
Kerusi Sungai Bakap disandang PKR selama tiga penggal dari 2008 sebelum Pengerusi PAS Nibong Tebal Nor Zamri Latiff menang pada PRN tahun lalu menewaskan Nurhidayah Che Rose (PKR) dengan majoriti 1,563 undi.
Media memetik data Perikatan Nasional melaporkan, kurang separuh daripada 8,642 pengundi Cina di Sungai Bakap keluar mengundi,Sabtu lalu. – MalaysiaGazette
Yeap…faktor kekalahan ialah kerana ada menteri bebal mcm Rapizi..kaki pembohong, kaki fitnah, kaki formula songsang