KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.
Menurutnya, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.
“Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri dan akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut BNM, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi negara terus kukuh pada suku kedua tahun 2024, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan prestasi eksport yang lebih baik.
Eksport dijangka disokong selanjutnya oleh peningkatan kitaran teknologi global berikutan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh.
Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan berserta langkah-langkah dasar akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah, tambah BNM.
Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan.
Tambahnya, prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar.
Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8% pada lima bulan pertama tahun 2024 dan seperti yang dijangka, inflasi akan lebih tinggi pada separuh kedua tahun 2024 berikutan rasionalisasi subsidi diesel baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, kenaikan inflasi masih terkawal berikutan langkah-langkah pengurangan yang dilaksanakan bagi meminimumkan kesan kos terhadap perniagaan.
Pada masa hadapan, risiko inflasi yang lebih tinggi akan bergantung pada sejauh mana kesan limpahan dasar dalam negeri selanjutnya berhubung dengan subsidi dan kawalan harga kepada trend harga yang lebih luas serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.
Bagi seluruh tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka berpurata dalam julat yang diunjurkan sebelum ini iaitu masing-masing antara 2.0% hingga 3.5% dan 2.0% hingga 3.0%.
BNM menambah, nilai ringgit terus didorong terutamanya oleh faktor luaran iaitu jangkaan hala tuju dasar monetari ekonomi-ekonomi utama dan ketegangan geopolitik yang berterusan.
Kesan positif daripada inisiatif terselaras oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta libat urus syarikat korporat terus membendung tekanan terhadap ringgit.
“BNM akan terus menguruskan risiko yang berpunca daripada volatiliti pasaran kewangan yang ketara. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur dalam negeri akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit,” ujarnya.
Ekonomi global terus berkembang berikutan keadaan pasaran pekerja yang berdaya tahan dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.
Pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan dibendung oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun.
Perdagangan global terus kukuh berikutan momentum peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan. Inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini, dengan beberapa bank pusat mula melonggarkan dasar monetari mereka.
Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global, kata BNM. – MalaysiaGazette