BUKIT MERTAJAM – Mayat dua wanita ditemui di tempat duduk hadapan Honda WRV di Jalan Tembikai, Taman Rambai petang semalam.
Mayat itu ditemui orang awam yang kemudian melaporkannya kepada polis.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Perda mendapati, mayat tersebut sudah kembung dan berbau busuk.
Berdasarkan penemuan itu, kedua-dua mangsa dipercayai sudah meninggal unia lebih lima hari.
Setakat ini identiti mereka belum dikenal pasti.
Menurut bomba, pihaknya menerima panggilan 7.41 malam.
Katanya, ketika jentera tiba di lokasi mendapati pintu kereta terkunci dan anggota bertugas diarahkan membuka pintu tersebut menggunakan alatan khas.
“Pintu berjaya dibuka dan didapati dua orang mayat perempuan dewasa.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar Hospital Bukit Mertajam selanjutnya,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette