BANGI – Mendepani permintaan yang semakin meningkat terhadap durian, terutamanya varian Musang King di China yang popularitinya kian berkembang, Ezydurian mengorak langkah merebut peluang untuk menjadi antara syarikat yang mengeksport durian segar ke negara tersebut.
Pengasas syarikat itu, Khairul Anuar Mohamadiah, 44, berkata, syarikatnya akan memulakan penghantaran 20 tan durian segar ke China bulan hadapan.
“Ezydurian tengah usahakan untuk menghantar satu kontena durian segar dalam bulan Ogos sebagai permulaan untuk tembus pasaran China.
“Kita merancang selepas mendapat tahu kerajaan China sudah membenarkan Malaysia eksport durian segar. Jadi kita rancang untuk memulakan perniagaan eksport durian segar ke China.
“Fokus Ezydurian ke China sebab boleh dijual lebih mahal daripada dalam negara dan ada speksifikasi buah yang boleh dan tidak boleh dihantar,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Sebelum ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan Malaysia sudah mendapat lesen mengeksport buah durian segar ke China.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu dicapai setelah kedua-dua negara memeterai Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar.
Pada 2022, eksport durian Malaysia ke seluruh dunia berjumlah RM1.14 bilion.
Mengulas lanjut, Khairul Anuar berkata langkah untuk terjun dalam bidang pengeksportan durian segar diambil atas aspek pasaran eksport durian segar tidak melibatkan kos yang banyak seperti pengeksportan durian beku sebelum ini.
Katanya, kos untuk mengeksport durian beku perlu mengambil kira kos penyimpanan sejuk, kilang nitrogen, kos penghantaran yang lain.
“Dengan adanya pengeksportan durian segar sebenarnya merupakan satu peluang yang sangat besar kepada pengusaha durian kerana tidak melibatkan kos tambahan seperti durian beku.
“Malah penghantaran cepat dan boleh terus dijual kepada pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, sasaran untuk menembusi pasaran durian segar di China memandangkan Ezydurian mampu menjual kira-kira 20 tan durian segar sehari di negara ini.
“Kita mahu kenal pasaran di China dahulu dan untuk menguji pasaran durian segar di negara berkenaan,” katanya.
Selain itu, Khairul Anuar turut menyasarkan untuk membuka beberapa lagi cawangan Ezydurian antaranya Damansara, Sungai Buloh, Sungai Besi, KL Sentral, Kajang dan Semenyih selain tujuh cawangan sedia ada. – MalaysiaGazette