Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Racun Perosak mengambil tindakan tegas terhadap penjualan racun perosak haram di negara ini.

Ia susulan kejadian baru-baru ini membabitkan kehilangan dua nyawa kanak-kanak lelaki selepas memakan makanan ringan yang dipercayai dicampur dengan racun tikus haram dari China.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) menemui bungkusan racun tikus bertulisan Cina di lokasi kejadian, dipercayai diletak dalam bungkusan keropok yang dimakan dua beradik itu.

“Tinjauan CAP selama ini menunjukkan bahawa racun perosak haram dijual secara terbuka di pasar sekitar Pulau Pinang dan Baling, Kedah sedangkan ia berasal dari China serta tidak dinyatakan bahan kimia aktif yang terkandung pada label.

“Ia juga kekurangan penerangan atau arahan  bagi pengendalian, penggunaan atau penyimpanan yang melanggar Kod Tatakelakuan Antarabangsa Pengurusan Racun Perosak dan Akta Racun Perosak 1974,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohideen, racun perosak haram yang dijual diedarkan dari negeri utara seperti Kedah, Pulau Pinang selain Kelantan atau diimport dari negara seperti Vietnam, China dan Thailand, walaupun dilarang di beberapa negara asal itu.

Katanya, dalam satu lagi tinjauan dijalankan beberapa tahun lalu di Kerpan, Sanglang, Pendang dan Sik di negeri Kedah, CAP dapati endosulfan iaitu racun perosak yang dilarang, mudah diperoleh.

Endosulfan dilarang di lebih daripada 60 negara berikutan ketoksikan tinggi dan potensi bioakumulasi serta pencemaran alam sekitar yang tinggi, maka larangan global terhadap penggunaan dan pengeluarannya sedang dipertimbang di bawah Konvensyen Stockholm.

“Racun perosak ini boleh dibeli dari kedai yang menjual bahan kimia pertanian pada harga RM32 seliter dalam botol tanpa label dan walaupun tidak dipamer di kedai, ia tersedia apabila diminta.

“Pasaran e-dagang Malaysia dan platform beli-belah dalam talian juga menjadi saluran penjualan produk racun perosak yang semakin berkembang, menurut Rangkaian Tindakan Racun Perosak Asia dan Pasifik (PANAP),” katanya.

Sehubungan itu, CAP menggesa Lembaga Racun Perosak bagi mengambil tindakan tegas terhadap penjualan racun perosak haram di negara ini dan menguatkuasakan Akta Racun Perosak 1974 dengan tegas.

Katanya, petani perlu dididik mengenai kesan kesihatan dan alam sekitar racun perosak selain penyediaan kaedah lebih selamat bagi menghapus perosak seperti menternak itik di sawah padi.

“Agroekologi atau pertanian yang menggantikan bahan kimia toksik dengan amalan selaras dengan alam semula jadi perlu diiktiraf, diutamakan dan disokong sebagai amalan pertanian yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast