KUALA LUMPUR – Gara-gara mabuk, seorang lelaki yang bergaduh dengan rakan serumahnya cedera parah selepas ditikam 11 kali dalam kejadian di kawasan perumahan Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu pada jam 5.45 pagi.
Katanya, seorang lelaki ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu sebuah rumah di tingkat lima di perumahan berkenaan.
“Pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh telah hadir di lokasi kejadian untuk memberi bantuan dan pemeriksaan mendapati terdapat 11 tikaman pada badan mangsa.
“Suspek dipercayai cuba untuk melarikan diri dengan melompat melalui tingkap dapur dari rumah itu dan ditemui terbaring di tingkat bawah perumahan tersebut.
“Akibat kejadian itu, lelaki terbabit mengalami patah di pinggang dan cedera di bahagian rusuk kanan. Kedua-keduanya telah dirujuk ke pusat perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, polis telah merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Semakan rekod lampau mendapati kedua-dua individu terbabit tidak mempunyai rekod jenayah.
“Susulan itu satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette