Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang, Mohd Asri Seman (kanan) menunjukkan hasil rampasan pihaknya dalam serbuan di Kemaman, Terengganu 3 Julai lalu

KUANTAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas hampir 5,000 liter minuman keras dan 310,512 batang rokok seludup pelbagai jenis dan jenama dalam tiga serbuan serentak di Kawasan Perindustrian Teluk Kalung Kemaman, Terengganu pada 3 Julai lepas.

Pengarahnya, Mohd Asri Seman, anggaran keseluruhan nilai rampasan tersebut berjumlah RM117,594.52 dan melibatkan jumlah cukai dan duti sebanyak RM461,540.01.

“Susulan dari kesemua serbuan yang dilakukan pada jam 11.30 pagi itu, JKDM Pahang telah menahan empat orang pekerja iaitu tiga lelaki dan seorang perempuan berusia 40-an di semua premis perniagaan tersebut,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Pahang, di sini, hari ini.

Mohd Asri Seman

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat dan mengesan pemilik perniagaan yang terlibat bagi tindakan selanjutnya.

Jelasnya, sindiket tersebut menggunakan premis perniagaan untuk pengedaran bahan kontraban pelbagai jenis dan jenama yang dipercayai dibawa masuk dari negara China menerusi laluan laut untuk pasaran warga China yang bekerja di Kawasan Perindustrian Teluk Kalung, Kemaman.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki apa-apa barang tak berkastam atau larangan import di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, katanya, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM 100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, katanya, kes itu juga disiasat di bawah Akta Eksais 1976 kerana menyimpan atau memiliki apa-apa barang berduti di bawah Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.

Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda amaun duti eksais atau RM50,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda amaun duti aksais atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi) atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan itu, Asri menyeru orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast