LONDON – Penyerang sayap Manchester United, Mason Greenwood secara rasmi diumumkan sebagai pemain baharu Olympique Marseille dengan jersi baharu bernombor 10 tetapi tidak tempoh dan nilai kontrak ditawarkan tidak didedahkan.
“Olympique de Marseille dengan sukacita mengumumkan yang kami menandatangani Mason Greenwood dari Manchester United. Penyerang 22 tahun itu menyertai kelab selepas lulus pemeriksaan kesihatan,” kata kelab itu.
Kehadirannya di Ligue 1 itu bagaimanapun mendapat bantahan sebahagian penyokong kelab Ligue 1 itu.
Dia digantung pada Januari 2022 oleh Manchester United selepas pemain itu berdepan dakwaan cuba merogol dan menyerang secara seksual, namun pendakwaraya menggugurkan dakwaan pada Februari 2023.
Sepanjang musim lalu, Greenwood, 22, dipinjamkan ke kelab La Liga, Getafe.
Greenwood membuat penampilan sulung untuk Manchester United pada usia 17 tahun 156 hari dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah 2019 dan kali pertama beraksi di Liga Perdana Inggeris empat hari kemudian.
Penampilan tunggalnya untuk England ialah pada September 2020.
Dia menjaringkan 35 gol dalam 129 penampilan untuk United tetapi tidak beraksi untuk saingan liga bersama kelab sejak Januari 2022.
Greenwood menjaringkan 10 gol dalam 36 penampilan untuk Getafe musim lalu.
Dia tiba Marseille sehari selepas Pierre-Emerick Aubameyang, pemain Gabon yang menjadi penjaring terbanyak kelab musim lalu, meninggalkan Marseille secara rasmi.
Marseille akan berdepan Sunderland dalam aksi pra-musim pada 3 Ogos di Bradford, tempat kelahiran Greenwood. – Agensi