KUALA LUMPUR- Menjelang pembukaan temasya Sukan Olimpik 2023, Sabtu ini, sandaran pingat emas negara, Datuk Azizulhasni Awang mengimbas kenangan beliau ketika pertama kali menyertai acara sukan terbesar di dunia itu.
Menurut jaguh berbasikal trek negara itu, beliau hanya berusia 20 tahun ketika dipilih sebagai pembawa bendera untuk Kontinjen Malaysia di Stadium Sarang Burung (Bird’s Nest) pada Sukan Olimpik Beijing 2008.
“Berumur 20 tahun, tampil dengan penuh cita-cita yang tinggi untuk menjadi yang terbaik bukan hanya di Malaysia, bukan sahaja di rantau Asia, akan tetapi mahu menjadi yang terbaik di dunia.
.
Apa yang saya tahu, waktu itu adalah sebuah permulaan kepada perjalanannya. Dan tidak pula saya tahu akan bagaimana pengakhirannya.
“Berbekalkan saiz badan biasa tetapi dengan semangat yang luar biasa, saya mulakan segalanya,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Azizulhasni, 36, yang meraih pingat gangsa pada edisi 2016 di Rio de Janeiro dan perak dekat Tokyo 2020, bakal membuat penampilan kali kelima di Paris 2024.
Harapan tinggi diletakkan di bahu lelaki yang digelar The Pocket Rocketman ini untuk membawa pingat emas pertama Malaysia.
Selain Azizulhasni yang beraksi dalam acara pecut dan keirin, kem berbasikal trek turut disertai Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan pelumba wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Acara berbasikal trek dijadual berlangsung di Velodrom de Saint-Quentin-en-Yvelines bermula 5 hingga 11 Ogos ini.-MalaysiaGazette