Mohd Farriza Azmi kelihatan sebak ketika temu bual khas bersama media di Seri Kembangan, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 22/7/2024.

KUALA LUMPUR – “Mak paling sedih bila dia dapat tengok jasad adik ketika jenazahnya hendak dimandikan,” kata Mohd Farizza Azmi ketika berkongsi detik-detik sedih dan sayu yang dilalui keluarganya, baru-baru ini.

Menurutnya, sebelum itu maknya banyak kali cakap hendak tengok jasad adik sebaik sahaja tiba di sini.

“Bila dia dah tengok, memang mak sedih sangat dan nak pengsan sebab tak sangka itu keadaan adik,” ucap Mohd Farizza lagi.

Mohd Farizza berkata, maknya cukup resah dan tidak mampu duduk diam di Miri sebaik sahaja menerima perkhabaran kehilangan Nur Farah Kartini daripada rakan-rakan adiknya pada 10 Julai lalu.

“Saya dan isteri memang tidak boleh tidur langsung lepas terima panggilan itu, kami bergegas pergi ke Balai Polis Tanjung Malim dan rakan-rakan adik pun ada di sana pada ketika itu.

“Saya selalu juga hubungi dia, jarang sekali dia tidak angkat langsung panggilan keluarga. Tapi masa hari kejadian itu kami hubungi dia dan panggilan tidak berangkat dan tidak lama selepas itu telefonnya tidak boleh dihubungi.

“Keadaan itu buat saya tidak tenang dan nak ulang-alik setiap hari ke Tanjung Malim untuk cari dia walaupun saya tak tahu dia berada di mana sebenarnya,” katanya sambil menitiskan air mata.

Ibu Allahyarhamah Nur Farah Kartini Abdullah, Salmah Abdullah sebak memegang pusara anaknya buat kali terakhir selepas selesai proses pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Bentan Pekan, Pahang. Foto SYADILA AMARI, 18 JULAI 2024.

Kongsinya lagi, selepas tular berita kehilangan Nur Farah Kartini pada 10 Julai lalu di Tanjung Malim, makya ada memberitahu, dia seolah-olah ada terdengar suara memanggil ‘mak’ pada waktu malam.

“Mak memang murung. Menerusi panggilan telefon, mak cerita dia ada mendengar orang panggil ‘mak’ pada waktu malam ketika dia berada Miri selepas terima perkhabaran kehilangan adik pada hari pertama.

“Mak sampai tiada suara dan tidak boleh berdiri sebaik sahaja dengar khabar berita kematian adik, dan sampailah jumpa mayat barulah dia datang.

“Mula-mula dia tak nak datang ke sini sebab tidak percaya dengan berita itu,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Seri Kembangan di sini.

Mohd Farriza Azmi (abang) dan Syeril Nur Fatihah Suhaimi bercerita mengenai Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah di kediaman mereka di Seri Kembangan, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 22/7/2024.

Ditebak perasaanya ketika dipanggil untuk melihat jasad Nur Farah Kartini di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh pada 16 Julai lalu, dengan nada sayu Mohd Farizza berkata, perasaan itu tidak dapat digambarkan.

Rasa sebak, terkejut semua bercampur baur, ujarnya.

“Masa masuk ke dalam bilik mayat, saya tidak dapat cam muka adik (tiada rupa). Saya memang tidak percaya itu adik sebab mulanya hanya diberi tengok muka sahaja.

“Kalau awal-awal mereka tunjuk kaki dia, mungkin saya dapat cam lebih awal sebab saya tahu kaki dia bagaimana. Itu yang buatkan mereka ambil DNA mak untuk buat pengesahan lebih jelas. Tapi ketika hendak mandi jenazah, mereka buka (jasad) baru kami nampak kaki adik,” katanya lagi.

Mohd Farizza berkata, sehingga hari ini dia masih rasa terkilan kerana tidak dapat bawa adiknya balik kampung, sedangkan ikut perancangan awal Sabtu akan datang ini mereka mahu balik bersama.

“Kami memang rancang nak balik sebab dia nak sangat pulang ke Sarawak, tapi tak sangka ini yang jadi,” tambahnya.

Ceritanya lagi, meskipun mereka adik-beradik, namun hubungannya dengan Nur Farah Kartini hanya rapat sejak tiga tahun lalu selepas Allahyarham kerap balik ke rumahnya setiap kali cuti semester.

Menurut Mohd Farizza, dia dan Nur Farah Kartini tidak membesar bersama.

Anak keenam dari tujuh beradik ini berkata, Allahyarham Nur Farah Kartini dibesarkan oleh nenek mereka dan dia dipelihara oleh keluarga angkat.

“Ketika berusia 15 tahun baru saya jumpa adik. Bila adik dapat tawaran di sini (UPSI) kami mula rapat antara satu sama lain,” ujarnya.

Mohd Farizza mengakui adiknya sangat ramah dengan orang sekelilingnya.

Allahyarham juga tidak pernah tunjuk ada masalah serta seorang yang sangat kuat bekerja kerana dia sudah berjanji hendak bawa mak berjalan-jalan pada bulan Ogos ini.

Pusara Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nyiur Manis, Bentan Pekan, Pahang. Foto SYADILA AMARI, 18 JULAI 2024.

Menurutnya, nenek mereka adalah insan yang paling rapat dengan Nur Farah Kartini dan sehingga hari ini neneknya tidak tahu adik sudah tiada.

“Masa tahu dia hilang, abang ada bagi tahu nenek. Dia jatuh sakit masuk hospital. Nenek tidak boleh terkejut,” ujarnya.

Mohd Farizza juga tidak sangka, air tangan adiknya yang memasakkan laksa Sarawak semasa Hari Raya Aidiladha baru-baru ini merupakan kenangan terakhir daripada Allahyarham.

Katanya, selama ini Allahyarham tidak pernah memasak di rumahnya.

“Tetapi masa raya haji baru-baru ini, dia ada menyatakan ingin balik kampung (Miri, Sarawak) tapi kebetulan saya tidak dapat cuti pada ketika itu. Kemudian, dia cakap nak masak sangat laksa Sarawak untuk kami sekeluarga.

“Saya terkejut juga sebab setiap kali cuti dia datang rumah kami tidak pernah nak tawar diri memasak. Tapi masa raya itu memang dia buat dan sangat sedap, sempat juga merasa air tangan adik,” kata Mohd Farizza sayu.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan penemuan mayat itu, seorang suspek berusia 26 tahun yang juga anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Hari ini juga, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu membenarkan perintah menyambung reman terhadap suspek selama tujuh hari lagi sehingga 29 Julai selepas reman kali pertama berakhir hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast