Mohd Farriza Azmi (abang), 28, menunjukkan gambar kenangan bersama arwah ketika ditemui di Seri Kembangan, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 22/7/2024.

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta menghentikan membuat dakwaan dan berita tidak benar terhadap Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah.

Kakak ipar Allahyarham, Syeril Nur Fatihah Suhaimi berkata, semua dakwaan yang dibuat orang awam di media sosial telah mengguris hati semua ahli keluarganya terutama ibu mertuanya di Miri, Sarawak.

“Tolong hentikan dakwaan atau berita yang tidak benar berhubung adik saya, arwah sudah tiada lagi,” rayunya ketika ditemui di kediamannya di sini.

Tegas beliau lagi, tragedi sedih yang menimpa keluarga mertuanya itu tidak patut menjadi ulasan awam.

Lebih membimbangkan mereka, pelbagai dakwaan liar mengenai adik iparnya turut dibaca oleh mak mertuanya.

Abang Allahyarham Nur Farah Kartini, Mohd Farriza Azmi bersama isterinya Syeril Nur Fatihah Suhaimi kelihatan sebak ketika ditemui di Seri Kembangan, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 22/7/2024.

“Benda ini tidak patut orang lain nak ulas, dengan benda tidak sahih sekali gus mengguris hati kami semua. Kita dah cuba tutup segala andaian yang menular di media sosial daripada mak, tapi zaman teknologi ini tidak boleh buat apa.

“Bila mak tengok komen itu semua, banyak persoalan yang dia sampaikan, kami pun tidak tahu mana datang cerita seperti yang tular. Mak tidak boleh duduk diam bila tengok semua ini, mental dia amat terkesan sangat-sangat,” ujarnya dengan nada sedih.

Lantaran itu, katanya, keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini tidak teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap mereka yang sengaja mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai adik iparnya.

Nur Farah Kartini ditemui mati di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 15 Julai lalu, selepas dia dilaporkan hilang pada 10 Julai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Syeril Nur Fatihah Suhaimi. Foto AIZAT ZAINAL, 22/7/2024.

 

Tambahnya lagi, mereka sekeluarga amat terkesan dengan dakwaan yang berkait dengan maruah adiknya itu memandang arwah sudah tiada lagi untuk mempertahankan dirinya.

“Mereka yang buat ‘content’ berhubung adik saya diminta hentikanlah buat spekulasi yang bukan-bukan. Kita serahkan pada polis untuk melakukan siasatan dan jangan buat andaian atau siasatan sendiri.

“Jangan tulis apa-apa yang tidak sahih dan boleh menjatuhkan fitnah. Kami sekeluarga mohon dan merayu sangat hentikan menulis buruk pasal Nur Farah Kartini,” katanya.

Mohd Farizza Azmi. Foto AIZAT ZAINAL, 22/7/2024.

Ditanya mengenai siasatan yang sedang dijalankan pihak polis, abang kepada Nur Farah Kartini, Mohd Farizza Azmi, 28, berkata, keluarganya berpuas hati kerana segala urusan dari awal penemuaan mayat hingga pengebumian berjalan dengan baik.

Malah, urusan pencarian bukti dan barang milik adiknya itu juga dipermudahkan ditambah banyak pihak yang membantu mereka sekeluarga sehingga hari ini.

“Alhamdulillah Allah permudahkan segara urusan, daripada pengebumian dan cari bukti pun sangat mudah. Selain itu, kami puas hati apabila suspek telah ditangkap.

“Saya harap ada keadilan yang sewajarnya ke atas pelaku kerana apa yang dilakukan itu amat kejam ke atas adik saya. Tidak kisah siapa dia tapi saya akan tuntut habis-habisan untuk kematian adik,” ujarnya.

Hari ini, Unit Forensik Sub Akuatik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menemukan dua anak kunci kereta dipercayai milik Nur Farah Kartini Abdullah di Sungai Trolak, Kampung Batu 4, Trolak, Perak.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati, barangan tersebut ditemui pada jam 11.20 pagi pada jarak 50 meter daripada jambatan lokasi suspek membuang barang mangsa.

Sejam kemudian, pasukan sama turut menemukan dompet mangsa pada jarak kira-kira lima meter dari lokasi penemuaan pertama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast