Pegawai KPDN Pulau Pinang melakukan pemeriksaan di sebuah kedai runcit di Bayan Lepas selepas didapati tidak mempunyai lesen menyimpan barangan subsidi.

BAYAN LEPAS – Tindakan dua peruncit yang menjalankan operasi perniagaan tanpa memiliki lesen bagi menyimpan barang kawalan berjadual membawa padah selepas premisnya, di sini, diserbu pihak berkuasa semalam.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S. Jegan berkata, bertindak atas maklumat awam dan risikan pihaknya bersama polis Bukit Aman menyerbu premis tersebut.

Jelas beliau, serbuan pertama membabitkan di premis kedai runcit manakala serbuan kedua dibuat ke atas sebuah pacuan empat roda milik peruncit lain yang dipercayai datang mengambil bekalan daripada peruncit pertama.

Turut dirampas barangan subsidi dalam sebuah pacuan empat roda milik peruncit lain.

“Susulan itu, kita merampas sebanyak 300 kilogram (kg) minyak masak paket pelbagai jenama, 370 kg gula termasuk premium, 129 unit tepung gandum pelbagai jenama untuk tindakan selanjutnya.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 37,209 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan pelanggaran Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Jegan berkata, KPDN Pulau Pinang sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan di negeri ini bagi mengekang ketirisan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

“Kita akan terus konsisten menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan kita tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN, khusunya melibatkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast