Anak Allahyarham Mohd Fauzi Darus atau dikenali sebagai Jay Jay, Nur Camelia Mohd Fauzi bersama anaknya menyiram air bunga mawar di atas pusara bapanya di Tanah Perkuburan Bukit Tandang hari ini.

PETALING JAYA – Jenazah penyanyi legenda negara Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Darus selamat dikebumikan pada 11.15 pagi di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Jalan PJS5/1, hari ini.

Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Al-Husna Bandar Sunway untuk dimandikan dan dikafankan, diikuti solat jenazah oleh kira-kira 200 orang yang diimamkan pengurus masjid Ustaz Wan Muhammad Izzat Kamal.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 10.50 pagi untuk pengebumian yang dihadiri ahli keluarga, saudara, kenalan dan rakan-rakan artis termasuk Datuk Hattan, Aris Ariwatan, Zamani, Datuk S Atan, Rozita Rohaizad dan M. Nasir.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Zaitoon Wahid, 61, berkata Allahyarham menghidap komplikasi organ selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada Mei lepas.

“Dia (Allahyarham) pergi dengan tenang selepas apa yang dilalui. Alhamdulillah, arwah meninggal di Hospital Thompson Kota Damansara, anak-anak semua ada menemani semasa pemergian arwah.

“Anak-anak semua sedih dengan pemergian ini, tetapi kami terima dan reda dengan pemergian arwah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Adik kepada Allahyarham, Puan Seri Melor Wati Darus, 65, pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang berbudi, penyayang dan lembut budi pekerti terhadap ahli-ahli keluarga.

Penyanyi popular Datuk Hattan pula berkata Allahyarham banyak menyumbang dalam mengembangkan industri muzik negara dan pemergiannya ialah kehilangan besar buat industri seni tanah air.

“Arwah memang ‘legend’, sejak tahun 1978 bila pertama kali dengar lagu Carefree, memang kita (terus) sama-sama minat lagu-lagu Carefree. Sewaktu ‘Talent Time’ di sekolah dulu pun banyak lagu saya nyanyikan adalah lagu Carefree. Dia (Allahyarham) seorang ‘legend’ yang baik.

“Sumbangannya begitu banyak, Allahyarham merupakan pencetus zaman kugiran pop (pop-band) di Malaysia. Semasa trend kugiran pop mula memuncak, Carefree namanya begitu besar. Tetapi Allahyarham seorang yang sangat merendah diri. Dia sangat menghormati orang, saya hormat pada (salute) dia,” katanya kepada Bernama.

Pada 23 Mei lepas, Jay Jay selamat menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas dua hari dimasukkan ke pusat perubatan itu akibat serangan jantung ringan dan sesak nafas.

Popular dengan lagu antaranya Rindu Bayangan, pemuzik itu pernah memenangi beberapa anugerah seperti Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPH) 1988, Vokal Terbaik Lelaki Anugerah Industri Muzik1998 dan Juara Kategori Pop Rock pada Juara Lagu 1998 menerusi lagu Joget Angan Tak Sudah.

Beliau memulakan karier sebagai penyanyi dan pemain bass bersama kumpulan Carefree pada 1979 sebelum muncul solo sejak 1984. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast