KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi peringatan kepada setiap syarikat pembinaan supaya tidak mengamalkan sikap pilih bulu dengan mengutamakan pekerja asing berbanding golongan mahir tempatan.
Mengakui kos pengambilan pekerja asing lebih murah namun pilihan seperti itu akhirnya akan merugikan negara pada masa jangka panjang.
“Andai perkara ini (pengambilan warga asing) berlarutan, sektor pembinaan terus bergantung kepada pekerja asing, kerajaan akan menanggung kerugian dalam jangka masa panjang.
“Saya sangat berharap pemaju perumahan, kontraktor dan sub kontraktor jangan pilih bulu dalam mencari pekerja-pekerja dalam sektor pembinaan.
“Ya, saya maklum kos mungkin kurang sekiranya mengambil pekerja asing tetapi dari segi jangka panjang kos yang ditanggung oleh negara dan kos kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang akan dibuat ia akan merugikan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Slogan CIDB Peneraju TVET Pembinaan bersempena dengan Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) & CIDB Technologies 2024 di sini hari ini.
Kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sektor pembinaan di Malaysia memainkan peranan penting sebagai pemangkin dinamik untuk kelestarian ekonomi dan kemajuan masyarakat.
Jelasnya, sudah tiba masa sektor perlu memastikan ia mempunyai tenaga kerja yang kompeten dan berproduktiviti tinggi seiring dengan IR4.0 atau lebih dikenali dengan Construction 4.0.
“Tahun lalu, unjuran pekerja asing diperlukan adalah 301,000 orang untuk sektor pembinaan di negara ini. Persoalannya, sampai bila kita mahu bergantung kepada pekerja asing ini? Maka inilah masanya untuk TVET industri pembinaan perlu terus diperkasa agar kebergantungan negara terhadap pekerja warga asing dapat dikurangkan.
“Kita mahu rakyat tempatan sendiri menjadi penyumbang kepada infrastruktur dan pembangunan negara. Saya juga setuju dengan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bahawa CIDB adalah Peneraju TVET Pembinaan dengan segala usaha yang telah dilaksanakan dalam melahirkan tenaga kerja, khususnya pekerja tempatan yang berkemahiran,” ujarnya.-MalaysiaGazette