KUALA LUMPUR – Pengukuhan nilai ringgit ketika ini membuktikan hala tuju dasar kerajaan sedang berhasil dan mula menarik perhatian dan keyakinan pelabur semula.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mata wang tempatan telah mengatasi prestasi dolar Amerika Syarikat (AS) selama 10 hari berturut-turut, iaitu prestasi terbaik dalam 14 tahun.
Setakat ini, jelas beliau, ringgit telah mengukuh sebanyak 2.16 peratus berbanding dolar AS, malah prestasi ringgit juga mengatasi beberapa mata wang utama antarabangsa seperti pound British, RMB China dan Euro.
Tambahnya, ringgit juga adalah satu-satunya mata wang di Asia yang telah mengukuh berbanding dolar AS.
“Beberapa perkembangan terkini ekonomi negara, termasuk naratif ekonomi yang meyakinkan, pelaburan asing yang makin meningkat, komitmen pengukuhan fiskal dan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang diunjur berkembang 5.8 peratus pada suku kedua 2024, mata wang ringgit sedang menunjukkan tanda-tanda pengukuhan mendadak.
“Komitmen Kerajaan Perpaduan terhadap pembaharuan fiskal yang sukar dan perancangan ekonomi yang komprehensif telah menghasilkan satu naratif pertumbuhan ekonomi yang baharu,” katanya menerusi hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Bergerak ke hadapan, tambah Rafizi, adalah dijangkakan pemotongan kadar faedah pertama di Amerika Syarikat (AS) yang boleh berlaku seawal pertengahan September depan akan terus mengukuhkan lagi kedudukan ringgit.
Jelasnya, walaupun terdapat kata sepakat dalam kalangan firma penyelidikan bahawa ringgit akan terus mengukuh, namun tumpuan negara kekal pada pelaksanaan dasar yang telah dirancang secara berkesan.
“Ekonomi dunia akan terus bergolak dalam masa terdekat yang akan terus mempengaruhi turun naik ringgit.
“Nilai ringgit hanya akan dapat dipertahankan dari ketidaktentuan global ini sekiranya ekonomi negara distrukturkan ke arah berteknologi tinggi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya. – MalaysiaGazette
Sembang ahh.. ada menteri cam hampa, sapa pun boleh. Semua tunggu ja benda pulih sendiri pastu claim hero. Padahal US Reserve dah start turunkan OPR di US. Sbb tu matawang naik belah Asia Pasifik ni. Pelabur dah start keluar dr US Market.