KUALA LUMPUR – Pelakon Azhar Sulaiman meluahkan hasrat untuk mendidik anak lelakinya, Andika Rees Pahamin, 22, mengenai cara mengendalikan solat jenazah.
Azhar, 53, berkata, dia terdetik untuk berbuat demikian selepas tidak berpeluang menjadi imam solat jenazah arwah bapanya.
“Jadi sekarang saya kena ajar Rees menjadi imam untuk sembahyangkan saya nanti kalau mati secara normal,” katanya menerusi hantaran di Instagram miliknya.
Pada masa sama, Azhar turut berkongsi petikan daripada pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus yang menjelaskan anak lelaki diwajibkan untuk menjadi imam jenazah bapa.
Bapa Azhar iaitu Kapten Sulaiman Ismail adalah Ketua Platon Batu Malim yang juga antara pejuang hebat anggota Force 136 menentang Jepun sekitar tahun 1944 dan 1945. – MalaysiaGazette