KUALA LUMPUR – Seorang pemilik dan pengurus syarikat pemborong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ditahan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana disyaki menyeleweing bahan tersebut dalam serbuan yang dilakukan di Jalan Kasipillay, Sentul, di sini, awal pagi tadi.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, pihaknya telah melakukan pengintipan dan risikan terhadap pemunggahan dan penurunan tong gas di premis tersebut sebelum sebelum melakukan serbuan pada jam 1.30 pagi.
“Siasatan awal kami mendapati pemborong itu menggunakan modus operandi iaitu disyaki melakukan aktiviti ‘decanting’ iaitu memindahkan gas petroleum cecair dari tong 14kg (bersubsidi) kepada tong 50kg (industri).
“Sindiket ini melakukan aktiviti ini dalam premis berlesen berkenaan bermula pada jam 1 pagi hingga 6 pagi dalam keadaan suhu sejuk selain taktik mengelak dari mudah dihidu oleh pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, hari ini.
Menurut Mohd Sabri, syarikat tersebut menjual gas industri pada harga dua kali ganda sehingga mencech RM240 setong.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif dalam memindahkan gas bersubsidi kepada gas industri lebih dua tahun dan ia diedarkan di sekitar Lembah Klang.
Katanya, aktiviti itu sukar dikesan kerana ia melibatkan pihak pemborong yang diberikan lesen barang kawalan oleh KPDN.
“Permintaan untuk gas industri meningkat di pusat bandaraya ibu negara dan harga yang dijual ini sedikit murah dari harga industri menyebabkan permintaan terhadap gas yang diseleweng ini makin meningkat,” ujarnya.
Sementara itu, beliau memberitahu, dalam serbuan tersebut pihaknya merampas 3,500 tong LPG bersubsidi (tong 12kg dan tong 14kg) dan 45 tong LPG industri (50kg) dengan jumlah keseluruhan rampasan LPG sebanyak 49,600 kilogram bernilai RM400,000. – MalaysiaGazette