Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin keluar daripada mahkamah diiringi isterinya Toh Puan Naimah Khalid bersama dua anaknya Muhammed Amir dan Muhammed Amin selepas mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas kesalahan tidak mematuhi notis SPRM dan gagal mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan membantah permohonan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin untuk memindahkan kes gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah yang dihadapinya, untuk didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen lain di sini.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah Hakim Azura Alwi, yang turut mendengar kes isteri Daim, Toh Puan Na’imah Khalid, adalah seorang hakim berkelayakan dan akan berlaku adil pada perbicaraan kedua-dua kes tersebut.

“Jika mahkamah lihat afidavit diikrarkan oleh pemohon (Daim), kesemuanya adalah spekulasi semata-mata. Ia menyentuh tentang potensi sikap berat sebelah yang mungkin timbul selain potensi penghakiman hakim mungkin akan dikaburkan apabila terdapat kewujudan dan penggunaan maklumat luar jika kedua-dua kes didengar oleh hakim sama.

“Pihak kami berhujah kes dihadapi pemohon dan isterinya adalah dua kes berbeza dan ia diakui sendiri oleh mereka. Pemohon akan diberikan peluang penuh untuk membela dirinya apabila kes dibicarakan kelak,” kata Wan Shaharuddin pada pendengaran permohonan Daim untuk memindahkan kesnya itu.

Sementara itu, TPR Mohamad Fadhly Mohd Zamry berkata, isu-isu yang dibangkitkan dalam afidavit pemohon adalah satu tuduhan yang serius dan mahkamah tidak boleh menerima hujahan hanya berdasarkan spekulasi semata-mata.

“Mahkamah ini dihakimi oleh hakim profesional yang bertugas menentukan kebersalahan atau sebaliknya, dan dia juga dihakimi oleh pegawai undang-undang yang dilatih untuk kekal adil. Permohonan ini seolah-olah menghina mahkamah dan ia sepatutnya ditolak,” kata Mohamad Fadhly.

Peguam M. Puravalen yang mewakili Daim pula berhujah sekiranya kes pasangan suami isteri itu didengar oleh hakim sama (Azura Alwi)  ia akan menimbulkan persoalan tentang kebolehpercayaan, kredibiliti saksi dan beban-beban bukti yang dikemukakan oleh mereka.

“Ini bermakna pemohon dan isterinya boleh dipaksa untuk memberi keterangan pada perbicaraan masing-masing jika didapati oleh Hakim Azura sebagai relevan, melainkan ia termasuk di bawah mana-mana satu pengecualian Akta Keterangan,” katanya.

Hakim Azura kemudian menetapkan 27 Ogos ini untuk membuat keputusan.

Daim memfailkan permohonan untuk memindahkan kes pada 7 Mei lepas atas alasan antaranya terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya kerana kes isterinya juga didengar di hadapan hakim sama.

Pada 29 Januari lepas, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Na’imah, 67, pula didakwa pada 23 Januari lepas atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast