Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

KEPALA BATAS – “Penulisan berita mestilah disertai dengan tanggungjawab dan akauntabiliti untuk rakyat keseluruhannya bukan saja syarikat media,” kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) terhadap sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keupayaan wartawan menjaga kerahsiaan sumber tanpa nama.

Mengulas lanjut, Saifuddin tidak mahu menyentuh isu berhubung laporan sebuah portal berita mengenai pertukaran kepimpinan tertinggi dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan ia kini dalam siasatan pihak polis.

Bagaimanapun, katanya, polis mempunyai budi bicara dan kuasa penuh mengikut undang-undang dalam menjalankan siasatan terhadap mana-mana kes.

“Saya tidak mahu sentuh spesifik kes kerana ia  sudah dalam siasatan pihak polis cuma saya ingin tekankan daripada segi wartawan dan dunia kewartawanan, saya fikir penulisan berita yang bertanggungjawab adalah keutamaan kita.

“Maknanya, bila kita menulis mestilah disertai dengan pertanggungjawaban yang kita ada tanggungjawab dan akauntabiliti yang bukan hanya (tulis) untuk stesen atau syarikat media kita tetapi rakyat keseluruhannya.

“Sama juga seperti di KDN, kita melaksanakan sesuatu dengan tanggungjawab dan akauntabiliti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan polis telah membuka kertas siasatan susulan laporan sebuah portal berita berhubung perubahan jawatan membabitkan beberapa nama-nama besar dalam PDRM.

Dalam laporan itu Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain didakwa antara nama yang bakal ditukarkan ke agensi lain bawah seliaan KDN.

Susulan itu, Geramm dan NUJM menegaskan bahawa sebarang berita tidak boleh diketepikan sebagai ‘tidak benar’ atau ‘tidak sah’ hanya kerana mereka memetik sumber tanpa nama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast