KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul akan mengadakan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Zon Pantai Timur bermula esok hingga 13 Ogos ini.
Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen Malaysia memaklumkan, ia merupakan lawatan kerja seterusnya selepas Johari melakukan perkara sama pada bulan lepas di Zon Selatan dan awal bulan ini di Zon Utara.
“Sepanjang lawatan kerja Yang Dipertua Dewan Rakyat ini, antara tunjang perbincangan bersama speaker-speaker DUN termasuk isu memperkasakan institusi legislatif melalui semakan semula undang-undang lama, merakyatkan institusi legislatif, pengasingan kuasa antara badan eksekutif dan badan legislatif serta inisiatif melahirkan kepimpinan generasi baharu yang cakna akan ilmu ketatanegaraan dan pentadbiran negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, lawatan kerja Johari ke Pantai Timur Semenanjung akan dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Speaker DUN Kelantan, Datuk Seri Mohd Amar Abdullah.
Beliau kemudiannya akan mengadakan lawatan kerja ke DUN Terengganu pada 12 Ogos diikuti DUN Pahang pada 13 Ogos dan Dewan Negeri Selangor pada 15 Ogos. – MalaysiaGazette