Polis sedang memburu suspek utama kes tersebut, Azman Mohamed Nor ,48 tahun.

KUALA LUMPUR- Polis mengklasifikasikan semula kes pasangan suami isteri warga emas dan cucu perempuan mereka yang maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar, Johor semalam di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, hasil bedah siasat mendapati ada unsur-unsur jenayah terhadap kematian ketiga-tiga mangsa.

“Sehubungan itu, polis sedang memburu Azman Mohamed Nor, 48, yang dipercayai merupakan suspek utama kepada kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Pengawai Penyiasat ASP Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Muar 06-9564800 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, Ara Abdul Hamid, 76, dan cucu mereka, Noradriana Nor Hasyim, 11, maut dalam kebakaran itu.

Manakala seorang lagi mangsa Norazima Mohd Radhi, 14, mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Semalam, Raiz Mukhliz dilaporkan berkata polis sedang mengesan saksi utama iaitu anak kepada pasangan warga emas itu dikenali sebagai Azman, yang dikatakan tinggal bersama mangsa serta dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast