Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Industri semikonduktor di Malaysia masih berdaya saing untuk berdepan risiko kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku di Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ia berdasarkan prestasi pasaran saham yang semakin baik di Asia Pasifik di sebalik kerisauan yang diperbesarkan didorong peningkatan angka pengangguran di AS.

Namun beliau menegaskan, negara tetap perlu bersedia berdepan apa jua kemungkinan risiko buruk sekiranya kemelesetan itu berlaku.

“Bagaimanapun kita perlu bersedia menghadapi keadaan terburuk dan sebagai ekonomi terbuka dengan kadar perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 130 peratus, kita perlu memastikan ekonomi kita adalah pelbagai bukan hanya dari segi produk malah pasaran.

“Bagi Malaysia, asas ekonomi kita masih kuat dan Jabatan Perangkaan telah mengumumkan unjuran awal KDNK bagi suku tahun kedua sebanyak 5.8 peratus dengan kadar inflasi masih rendah, kita yakin mampu mencapai tahap pertumbuhan yang disasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampai ucaptama pada Majlis Pertemuan Konsultasi Kebangsaan anjuran UNCTAD-KRI, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kebimbangan penganalisis ekonomi bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin menuju ke arah kemelesetan yang akan mencetuskan penghindaran risiko besar-besaran.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut membayangkan pelan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang diumumkan baru-baru ini tidak akan terjejas sekiranya kemelesetan berlaku di AS.

Jelas beliau, ini kerana pelan itu merupakan program bersifat jangka panjang sehingga tahun 2030.

“Sekiranya ada kejutan luaran kita perlu bersedia, namun jangan lupa sasaran jangka panjang, pasti akan ada turun naik namun ia akan tetap bergerak ke arah atas.

“Selain itu, industri semikonduktor juga dilihat agak berdaya tahan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan memerlukan cip mikro, tenaga, pusat data dan sebagainya jadi ia tidak akan banyak terjejas malah akan menjadi satu keperluan pada masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast