KUALA LUMPUR – Nilai kerja dalam sektor pembinaan berjumlah RM38.9 bilion pada suku kedua 2024, yang terus meningkat 20.2 peratus selepas peningkatan 14.2 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan ini dipacu oleh prestasi yang memberangsangkan subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman, yang masing-masing mencatatkan peningkatan dua digit yang ketara kepada 25.2 peratus dan 19.7 peratus.
Selain itu, pertumbuhan sektor ini turut didorong oleh pengembangan yang lebih kukuh dalam subsektor aktiviti pertukangan khas sebanyak 44.9 peratus (ST1 2024: 11.8%).
Subsektor bangunan bukan kediaman turut meningkat, dengan pertumbuhan sebanyak 7.2 peratus.
Daripada keseluruhan nilai kerja sebanyak RM38.9 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2024, sejumlah RM15.2 bilion atau 39.0 peratus disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam, terutamanya dalam aktiviti Pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM7.5 bilion) dan projek utiliti (RM5.6 bilion).
Sementara itu, nilai kerja bagi bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing menyumbang RM10.6 bilion (27.4%) dan RM8.8 bilion (22.6%).
Di samping itu, Aktiviti pertukangan khas adalah sebanyak RM4.3 bilion (11.0%), terutamanya dalam aktiviti pemasangan elektrik; dan pemasangan sistem paip, pemanasan dan pendingin udara, dengan kedua-duanya pada RM1.1 bilion.
Sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dalam sektor pembinaan, menyumbang RM23.6 bilion atau 60.8 peratus daripada jumlah nilai keseluruhan.
Sektor swasta mengekalkan momentum dua digit dengan pertumbuhan sebanyak 15.8 peratus (ST1 2024: 10.1%), didorong oleh prestasi yang kukuh dalam subsektor bangunan kediaman (19.9%) dan aktiviti pertukangan khas (46.0%).
Begitu juga, nilai kerja oleh sektor awam mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 27.8 peratus (ST1 2024: 20.6%) kepada RM15.3 billion (sumbangan: 39.2%), yang dipacu terutamanya oleh subsektor kejuruteraan awam dengan pertumbuhan sebanyak 23.8 peratus.
Hampir 59.0 peratus daripada nilai kerja tertumpu di Selangor, Johor, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan).
Nilai pembinaan di Selangor berjumlah RM8.7 bilion atau 22.4 peratus, disumbangkan oleh subsektor kejuruteraan awam (RM3.0 bilion), diikuti oleh bangunan kediaman (RM2.5 bilion) dan bangunan bukan kediaman (RM2.3 bilion).
Sementara itu, Johor menduduki tempat kedua dengan nilai RM5.4 bilion atau 13.8 peratus, terutamanya dalam subsektor kejuruteraan awam (RM1.9 bilion) dan bangunan bukan kediaman (RM1.8 bilion).
Pada masa yang sama, nilai kerja di Sarawak adalah RM4.5 bilion (11.7%), manakala Wilayah Persekutuan mencatatkan RM4.3 bilion (11.2%).
Merumuskan prestasi nilai kerja pembinaan bagi separuh pertama 2024, sektor ini mencatatkan nilai sebanyak RM75.7 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak 17.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023 (ST1 2023 hingga ST2 2023: 8.7%).
Prestasi yang lebih baik ini didorong oleh pengembangan dalam semua subsektor, terutamanya oleh kejuruteraan awam (25.0%) dan bangunan kediaman (15.7%). – MalaysiaGazette