Tertuduh, anggota polis berpangkat koperal, Mohd Rizal Abd Rahman, 42, didenda RM1,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM400 untuk melepaskan seorang pemuda dari sekatan jalan raya tiga tahun lalu

MELAKA – Padah meminta rasuah RM400 bagi melepaskan seorang pemuda dari sekatan jalan raya tiga tahun lalu, seorang anggota polis berpangkat koperal didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mohd Rizal Abd Rahman, 42, sejurus pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penjawat awam iaitu koperal polis yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah telah menerima wang tunai.

Wang berjumlah RM400 itu diterima tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasmi tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di pondok perhentian bas Taman Sinn, Jalan Semabok-Ayer Leleh dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 12.30 pagi 25 April 2021.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menahan seorang penunggang motosikal dalam satu sekatan jalan raya dan semakan mendapati lelaki berkenaan memiliki rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1972 pada tahun 2016.

Tertuduh kemudian meminta pemuda tersebut menghubungi bapanya untuk membawa RM400 bagi melepas dan tidak membawanya ke balai polis.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Noor Julieana Yahaya mencadangkan denda antara RM1,000 hingga RM1,500 dikenakan terhadap tertuduh.

Peguam Ishak Mohd Kari yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah insaf selain digantung kerja dan dikenakan pemotongan gaji.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast