Arifin dan Kasim merakamkan gambar bersama atlet-atlet SUKUM dari 20 Universiti Awam.

KOTA KINABALU – Penganjuran Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) kali ke-45 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi medan untuk mengeratkan lagi hubungan antara staf UMS bersama staf dari 19 Universiti Awam (UA) yang menyertai kejohanan tersebut.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kejohanan tersebut memberi peluang kepada para atlet yang terlibat untuk mengeratkan hubungan, bertukar idea, dan dapat meningkatkan gaya hidup sihat.

“Melalui sukan, semangat perpaduan dalam kalangan staf universiti terutamanya dalam membangunkan mutu sukan dan pendidikan peringkat universiti seterusnya negara dapat disemai dan dikekalkan bagi melahirkan generasi yang ceria dan harmoni.

“Saya yakin dan percaya, SUKUM mampu memartabatkan sukan seiring dengan pendidikan di negara ini. Penglibatan para pegawai dan atlet dalam kontinjen masing-masing amat membantu dalam pembangunan sukan negara melalui pembangunan prasarana, fasiliti sukan dan persediaan atlet,” katanya dalam ucapan sempena merasmikan Kejohanan SUKUM kali ke-45 di Stadium UMS.

Menurut Arifin, sektor pendidikan tinggi negara harus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara dengan lebih bermakna.

“Ini kerana kita sedar, selain kekuatan dan ketahanan fizikal dan mental, pembangunan sektor sukan sangat turut berkait rapat dengan ilmu, penyelidikan, strategi dan teknologi.

“Saya berharap dengan adanya kejohanan SUKUM ini, para atlet dari semua kontinjen dapat menghayati semangat kesukanan yang tinggi dalam persaingan memburu kejuaraan.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor dalam ucapannya menyeru para atlet yang bertanding bagi setiap kontinjen untuk bersaing dengan semangat kesukanan yang tinggi.

“Dalam usaha meraih pingat, setiap kontinjen harus bersaing dengan semangat kesukanan tinggi, adil dan berdisiplin agar kejohanan ini dapat membentuk permuafakatan dalam kalangan setiap pasukan.

“Di gelanggang, kita adalah seteru. Namun di luar gelanggang, kita bersahabat,” ujar beliau.

Kejohanan SUKUM edisi ke-45 ini menyaksikan sebanyak 20 kontinjen UA yang bertanding dengan menghimpunkan seramai 2,303 atlet dan mempertandingkan sebanyak 23 acara sukan yang menawarkan 139 pingat emas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast