KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memberikan masa tambahan selama sebulan kepada kedua dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengisytiharkan aset mereka.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, mereka diberi masa sehingga pertengahan September ini untuk mengisytiharkan aset masing-masing.
“Itu keputusan akhir (isytihar aset). Jika mereka gagal patuh, SPRM akan ambil tindakan undang-undang,” katanya selepas merasmikan Program Inisiatif Pencegahan Rasuah Melalui Pemerkasaan Amalan Perakaunan dan Pengauditan, di sini, hari ini.
Pada Mei lalu SPRM bersetuju memberi lanjutan masa kepada Mirzan dan adiknya, Tan Sri Mokhzani untuk mengisytiharkan aset masing-masing.
Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM pada Januari lalu mengisytiharkan aset mereka sejak 1981, tahun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). – MalaysiaGazette