KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan bagi menyemak semula keputusan pembatalan larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.
“Mahkamah dah membuat keputusan. Kami hormati keputusan Mahkamah.
“Tapi tidak bererti kami bersetuju,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau semalam.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, walau siapa sekalipun kerajaan, sensitiviti majoriti rakyat Melayu dan Islam perlu diutamakan dan dipelihara untuk menjamin kestabilan negara ini.
Media semalam melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.
Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan tersebut membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.
Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.
Pada 8 Disember 2022, Kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik terbabit.
Peguam Vince Tan Hoo Seh, yang mewakili Kuan Yau memaklumkan, hakim tidak menemui sebarang isu baharu atau persoalan yang dikemukakan kerajaan adalah berhubung kepentingan awam untuk mewajarkan usaha mengembalikan larangan itu. – MalaysiaGazette