isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – UMNO wajib membantah secara keras keputusan membatalkan larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zakarshi berkata, rakyat kecewa dengan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan perlu mencari jalan supaya larangan tersebut diteruskan.

“Komik itu jelas mengagungkan Chin Peng bekas pemimpin Parti Komunis Malaya. Ia jarum halus sebar komunisme. Ramai anggota keselamatan korban perjuangan bersenjatanya.

“Selepas negara merdeka dia terus berjuang dalam hutan menentang kerajaan yang sah dan dipilih rakyat. Ideologi komunis menolak Raja Raja Melayu. Ia ancam kestabilan.

“Perjanjian damai bukan bermakna ancaman fahaman komunis yang anti Raja Raja Melayu berakhir. UMNO wajib membantah keras,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Media semalam melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ tulisan Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bertarikh 6 Ogos lalu.

Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan tersebut membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.

Perintah Larangan itu sebelum ini dibuat KDN kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Ini kerana kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Pada 8 Disember 2022, Kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik terbabit.

Peguam Vince Tan Hoo Seh, yang mewakili Kuan Yau memaklumkan, hakim tidak menemui sebarang isu baharu atau persoalan yang dikemukakan kerajaan adalah berhubung kepentingan awam untuk mewajarkan usaha mengembalikan larangan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast