KOTA TINGGI – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang mengkaji untuk memulihara semula kawasan hutan yang terputus sehingga menyebabkan hidupan liar menceroboh ke kawasan kebun atau penempatan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, usaha tersebut adalah bagi menangani masalah haiwan liar antaranya gajah atau monyet masuk dan merosakkan tanaman, harta benda serta mengganggu penduduk.
“Ini cara terbaik untuk menghubungkan semula kawasan hutan yang terputus. Kalau di semenanjung kita ada ‘Central Forest Spine’ di Banjaran Titiwangsa sampai ke selatan tapi ada beberapa kawasan dah terputus koridor hidupan liar.
“Bila tidak ada hutan atau kawasan perlindungan yang bersambung, mereka akan masuk ke kawasan kampung.
Kita juga akan menbantu kerajaan negeri untuk menambah kawasan perlindungan, ini adalah yang paling ideal,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman Akibat Serangan Hidupan Liar (BKHT) di Bandar Tenggara, di sini, hari ini.
Nik Nazmi berkata, selain itu bagi menangani masalah tersebut boleh dibina pagar elektrik, parit dan sebagainya untuk menghalang hidupan liar daripada masuk ke kebun atau penempatan.
Katanya, namun terdapat beberapa kekangan terutama membabitkan persetujuan pemilik tanah untuk memasang pagar elektrik dalam menangani konflik hidupan liar tersebut.
Pada masa sama, beliau akan memohon penambahan peruntukan bagi menangani konflik tersebut kepada Kementerian Kewangan bulan depan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2025.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 38,000 diperuntukkan dan diserahkan kepada 21 penerima dari Kota Tinggi, Mersing, Batu Pahat dan Kluang yang mengalami kemusnahan tanaman dan harta benda akibat serangan gajah serta kera.
Berdasarkan rekod untuk tempoh 2019 hingga Jun 2024, sebanyak 68,182 aduan gangguan hidupan liar diterima Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) manakala 8,233 aduan direkodkan di Johor dalam tempoh sama.
Inisiatif BKHT merupakan satu bentuk bantuan kewangan secara one-off kepada penduduk kampung, komuniti setempat, Orang Asli, petani, nelayan dan penternak yang terjejas dan mengalami kerugian/ kerosakan harta benda dan tanaman akibat konflik hidupan liar.
Inisiatif ini diperkenalkan pada 2024 melalui peruntukan RM10 juta daripada Kementerian Kewangan dan setakat ini, 91 pemohon di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada inisiatif BKHT dengan jumlah bayaran lebih RM300,000.- MalaysiaGazette