KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Steven Sim Chee Keong menegaskan kerajaan kekal dengan keputusannya membekukan kelulusan kuota kemasukan pekerja asing di negara ini.
Sehingga hari ini, katanya tidak ada sebarang permohonan baharu berkaitan pengambilan pekerja asing bagi sektor-sektor sudah dibekukan.
“Pemindahan Pusat Kelulusan Setempat (OSC) ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga keputusan Kabinet kerana ketika ini isu-isu berkaitan pengurusan dan penyelengaraan pekerja asing dan migran dilaksanakan oleh KDN kerana ia membabitkan keselamatan.
“Mungkin ada yang salah faham kononnya ini adalah pembaharuan dilakukan dalam Kesuma. Ini adalah keputusan oleh Kabinet dan saya tegaskan, ketika ini pembekuan pengambilan pekerja asing ini masih lagi kekal. Pemindahan juga berdasarkan keputusan pembekuan ini,” katanya selepas majlis Istiadat Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) ke-27 hari ini.
Kerajaan membuat keputusan mengekalkan keputusan membekukan kelulusan kuota kemasukan pekerja asing baharu rentetan bilangan pekerja dalam negara telah menghampiri sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Setakat Mac lalu, Sim berkata, jumlah pekerja asing yang bekerja dalam negara adalah seramai 2,171,798 orang berlandaskan kepada rekod Jabatan Imigresen Malaysia.
Kata beliau, kerajaan telah menetapkan bilangan pekerja asing dalam negara tidak boleh melebihi 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang tahun 2025. -MalaysiaGazette