Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros

JOHOR BAHRU – Keputusan Pakatan Harapan (PH) tidak meletak calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota amat dihargai dan tepat pada waktunya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berkata, pendirian itu mencerminkan kesungguhan dan komitmen PH untuk terus menyuburkan semangat perpaduan bersama-sama Barisan Nasional (BN) di Johor secara bermuafakat.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pimpinan parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan khususnya di Johor berganding bahu membantu memenangkan calon kerusi DUN Mahkota pada 28 September ini.

“Ini sekali gus mengulangi kejayaan manis memenangkan calon Kerajaan Perpaduan semasa PRK Parlimen Pulai dan PRK DUN Simpang Jeram pada tahun lalu.

“Pemuda Johor mengalu-alukan serta menghargai pendirian rasmi PH untuk memberi laluan kepada BN bertanding dalam PRK DUN Mahkota bulan depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, PH dalam satu kenyataan bersetuju untuk tidak bertanding dalam PRK DUN Mahkota pada September ini.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas kepemimpinan tertinggi PH bermesyuarat pada minggu lalu yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“PH bersetuju calon Barisan Nasional (BN) akan bertanding sebagai menghormati kerusi ‘incumbent’ seperti mana BN berbuat serupa ketika PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada September 2023.

“PH akan turun memberi sokongan dan dokongan sepenuhnya kerana mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota adalah menjadi keutamaan dalam semangat Kerajaan Perpaduan pada hari ini,” kata Saifuddin.

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, fokus seluruh jentera parti kerajaan adalah untuk memberi penerangan kepada rakyat mengenai segala usaha Kerajaan Perpaduan sedang ambil untuk memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat.

Jelasnya, usaha terbabit sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.

Sementara itu, Noor Azleen berkata, agenda memecah-belah perpaduan rakyat yang dibawa Perikatan Nasional (PN) harus sama-sama ditolak.

“Kita tidak sesekali boleh membiarkan agenda yang dibawa PN ini dibiarkan bertapak di negeri Johor,” tegasnya.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast