Logo Polis Diraja Malaysia (PDRM)

KUALA LUMPUR – Seorang tukang tilik berstatus ‘Datuk’ yang disyaki merogol seorang wanita yang datang mendapatkan khidmat membuang nasib buruk sudah diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof hari ini telah mengesahkan tangkapan suspek tersebut.

Katanya, polis menerima laporan semalam daripada pengadu warga tempatan mengatakan dia telah dirogol oleh suspek di Puchong.

“Siasatan awal polis mendapati, pengadu yang merupakan wanita mengenali suspek melalui sosial media yang dipercayai boleh menilik nasib dan membuang nasib buruk pengadu.

“Bertindak atas laporan pengadu, pada Jumaat jam lebih kurang 11.15 malam, sepasukan anggota polis berjaya membuat tangkapan ke atas seorang suspek lelaki  warga tempatan di Puchong selepas disyaki terlibat dalam kes yang sedang disiasat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek berusia lingkungan 34 tahun itu kini direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 21 Ogos depan untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan jenayah rogol dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan hendaklah dikenakan hukuman sebat.

“Orang awam dinasihati agar tidak menimbulkan apa-apa spekulasi serta tidak berkongsi berita yang tidak benar berkenaan kejadian ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tukang tilik palsu tipu duit, rogol mangsa – MHO