Mohd Syafiq (berdiri dua dari kanan) menerima anugerah Alumni Muda Harapan UiTM pada Majlis Malam Alumni Universiti Awam 2024 (MAL 2024) yang dianjurkan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah diberi penghargaan selaku pemenang anugerah Alumni Muda Harapan UiTM pada Majlis Malam Alumni Universiti Awam 2024 (MAL 2024), baru-baru ini.

Pengiktirafan tersebut disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir pada majlis yang julung-julung kalinya menggabungkan kesemua universiti awam di bawah satu bumbung.

Selain Mohd Syafiq, anugerah tersebut turut diberikan kepada pemenang anugerah alumni bagi setiap universiti awam yang merangkumi kategori Anugerah Ikon Alumni, Anugerah Alumni Kedermawanan dan Anugerah Alumni Muda Harapan.

Pemenang anugerah dinilai oleh panel juri berdasarkan sumbangan signifikan serta curahan bakti berterusan yang diberikan kepada alma mater masing-masing.

Sebagai pengasas organisasi Bumiputera yang menitikberatkan aspek kebajikan dan tanggungjawab sosial korporat, Mohd Syafiq komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk kepada UiTM.

Antaranya sumbangan 10 ekor lembu korban, penajaan lawatan pembelajaran mahasiswa ke luar negara, penganjuran persidangan antarabangsa dan pelbagai lagi.

Beliau yang dahulunya merupakan penuntut di UiTM Shah Alam dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan dan Pemasaran menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh pengurusan UiTM di atas penganugerahan tersebut.

“Sesungguhnya, penganugerahan Alumni Muda Harapan dari UiTM ini adalah satu penghargaan yang cukup bermakna bukan sahaja kepada saya bahkan juga kepada keluarga besar Alumni UiTM.

“Sebagai seorang alumi UiTM, sememangnya sudah menjadi iltizam saya untuk kembali berbakti kepada institusi pendidikan yang telah banyak memberi saya ilmu, tunjuk ajar dan kemahiran yang membawa saya berada di tahap seperti hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sumbangan VFive Group kepada UiTM dalam pelbagai aspek akan dilipatgandakan lagi pada masa akan datang selari dengan visinya untuk terus membantu masyarakat dan komuniti.

“Insyallah, selepas ini akan banyak lagi kerjasama serta sumbangan akan kita salurkan untuk membantu kemajuan UiTM dan juga mahasiswa-mahasiswa. Semoga kerjasama yang dijalin ini akan memberi manfaat kepada lebih ramai masyarakat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan Tinggi mengalu-alukan anggota alumni supaya menjalinkan kerjasama dengan universiti masing-masing bagi menerokai pelbagai peluang ke arah kemajuan kedua-dua pihak, selain memberi sumbangan kewangan dan kemapanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast