KUALA LUMPUR- Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berjaya meraih RM1.2 bilion melalui terbitan sukuk keenam dan juga bahagian terbesar Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab Kelestarian Air Selangor (SRI KAS).
Penyedia perkhidmatan air itu berkata penerbitan sukuk tersebut yang terdiri daripada empat siri dengan tempoh matang antara 10 hingga 25 tahun, menandakan selesainya penerbitan ketujuh setakat ini di bawah program sukuk murabahah bernilai RM10 bilion.
“Kami sangat gembira dengan hasil dan sokongan padu daripada pelabur kerana ia telah mencatatkan lebihan langganan yang luar biasa sebanyak 4.95 kali.
“Ia adalah bukti keyakinan berterusan para pelabur terhadap Air Selangor dan pengiktirafan serta sokongan mereka terhadap agenda kelestarian kami,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Adam Saffian Ghazali dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil daripada penerbitan itu akan membolehkan Air Selangor selari dengan aspirasi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Ia akan memantapkan lagi pelaburan dalam meningkatkan margin rizab air, mengurangkan air bukan hasil dan memastikan operasi infrastruktur air kami yang berterusan, lebih cekap dan lebih mesra alam,” tambahnya.
Disokong oleh pesanan kukuh yang berjumlah RM5.9 bilion, tawaran sukuk tersebut meningkat 20 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.2 bilion, menurut Air Selangor.
“Sokongan ini telah menjadikan sukuk SRI KAS keenam Air Selangor sebagai standard baharu untuk terbitan sukuk AAA. Hasilnya akan digunakan untuk membiayai projek-projek yang layak selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan yang menjadi keutamaan kami serta Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampan kami,” katanya.
Program sukuk murabahah, di bawah terbitan SRI KAS disahkan masing-masing mendapat penarafan jangka panjang dan jangka pendek AAA dengan prospek stabil dan P1 oleh RAM Rating Services Sdn Bhd pada 11 Sept, 2023.
Bank Islam Malaysia Bhd adalah penasihat utama, pengatur utama dan penasihat syariah untuk program sukuk murabahah itu. Bank Islam dan CIMB Investment Bank Bhd bertindak sebagai pengurus utama bersama untuk terbitan SRI KAS.
— BERNAMA