PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas disyaki terlibat dengan sindiket yang membawa masuk warga asing melalui pintu masuk negara dipercayai tanpa melalui pemeriksaan pihak berkuasa, semalam.
Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.
Tambah beliau, Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang terlibat dalam pelanggaran integriti seperti salah guna kuasa dan rasuah sama ada di pintu masuk negara atau mana-mana Pejabat Imigresen di seluruh negara.
“Tindakan dan hukuman yang berat akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.
“Jabatan Imigresen serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jabatan Imigresen juga katanya, mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku Pegawai Imigresen seperti penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, kesalahan tata tertib dan rasuah melalui talian 03-8880 1246 atau melalui e-mel [email protected].
Mereka juga boleh hadir sendiri ke Aras 4, Bahagian Integriti, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.-MalaysiaGazette