Warga UMT bersama penduduk orang asli Kampung Sungai Berua.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyemarakkan lagi kempen kibar
Jalur Gemilang melibatkan komuniti orang asli Kampung Sungai Berua sempena sambutan bulan kemerdekaan ke-67.

Program penghayatan kemerdekaan itu bertujuan menyuntik rasa cinta terhadap negara
serta menghargai pengorbanan generasi terdahulu yang telah berkorban untuk menuntut
kemerdekaan.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. ChM. Dr. Marinah Mohd
Ariffin berkata pelbagai pengisian sambutan bulan kemerdekaan yang dilaksanakan oleh
universiti itu bagi menyuburkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar.

Selain menyantuni masyarakat orang asli di kampung ini, UMT turut mengedarkan Jalur
Gemilang dan barangan keperluan lain.

Marinah berkata, UMT bukan sahaja memfokuskan bidang akademik, malah turut melibatkan komuniti untuk manfaat bersama.

 

“Melalui program seumpama ini, kita harap dapat menyemai nilai murni serta semangat
patriotik di kalangan komuniti orang asli serta mendorong mereka untuk lebih menghargai ilmu pengetahuan sebagai asas pembangunan komuniti.

“Kita juga menerapkan budaya membaca kepada pelajar-pelajar orang asli melalui sesi
bercerita supaya menarik minat komuniti itu untuk menimba ilmu,” katanya.

Selain itu, program ini juga menyediakan pelbagai aktiviti yang menggalakkan interaksi antara warga UMT dan komuniti orang asli, sekali gus memperkukuhkan hubungan silaturahim dan kefahaman antara kedua-dua pihak.

Menurutnya, hubungan UMT dengan suku kaum Semaq Beri Kg. Sungai Berua telah terjalin hampir lima tahun lalu dan proses pemindahan ilmu telah dilaksanakan.

“Kita sedar berkenaan isu keciciran komuniti orang asli di sekolah dan kita telah cuba bantu masyarakat orang asli Kg. sungai Berua dengan membina Jungle School melalui Institut Biodiversiti Tropika dan pembangunan Lestari (IBTPL) UMT dalam mengembeleng usaha memupuk minat belajar di kalangan anak-anak orang asli di sini.

“Ini selari dengan tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 4 (Menjamin pendidikan menyeluruh dan sama rata serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast